CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS

Sabtu, 29 November 2008

KANDA OH KANDA


Alahai...dan dekat seminggu dapur saya rosak. Pada mulanya gabra juga nak beri tahu kat kanda...mana ler tahu nanti dia kata saya tak pandai jaga benda yang paling mustahak kat rumah...minta bantuan dengan shafiq mana ler tahu dia ada sebarang buah fikiran...nak periksa plug ker apa...
Puas saya dengan shafiq periksa itu dan ini...dah takder arah dah..."bagitau ayah jerlah ibu..." kata shafiq. Terserlah kasihnya kanda pada saya...dia senyum jer...terus antar kedai mana lertau boleh diperbaiki...lama gak kat kedai, tukey cina tu kata kena petir dah tak boleh baiki lagi. ( sedap mulut dia jer tukey ni padahal belum pun periksa lagi) Bila masa pulak ada petir rasa-rasanya dua tiga hari ni takder pulak hujan...apa lagi petir...sabo jer ler...

Hah!...jangan terkejut pulak tengok dapur basah saya ni....ah nilah dapur basah yang saya gunakan selama dapur kat dalam yang dikatakan rosak tu....dah macam dapur kat kedai warung Mak Timah....hehehe... jangan tak tau kalau guna dapur ni nak masak banyak pun senang, nak buat kenduri pun senang... yang ado... nampak tak... siap kena rantai lagi... almaklum ler kat sini banyak doktor yang tak bertauliah....

Sebenarnya dapur yang dikatakan rosak tu sebetulnya bukan ler rosak tapi pendawaian suis kat rumah yang rosak jadi elektrik tak dapat dibekalkan. Tukey cina tu siap perli kanda lagi... mana taknya kanda pakai uniform masa hantar kat kedai. "Alamak lu tak tau ker... bukan dapur lu yang rosak.. tengok sudah boleh on..." kata tukey.

Ni ler benda yang rosak sebenarnya.... nasib baik ler orang kata kanda orang api... ( bukan orang minyak ah..) kerja-kerje ni semua kat hujung jari jer hehehe....


Ni apa ker nama.... saya pun tak tahu tapi untuk menentukan samada aliran arus eletrik ada atau pun tidak... apa-apa aje..

Gelap ler pulak gambar ni.... dah letak di tempat yang sepatutnya.... "Baru senang hati abang tengok dapur dah boleh digunakan... tak payah lagi masak kat dapur luar." Kanda saya sejak dapur rosak dialah yang rajin masak...kesian dia.

Alhamdulillah.... dan boleh pun on... masak air ler kasian kanda mesti haus... air teh secawan...

Isnin, 24 November 2008

KALA MALAM BULAN MENGAMBANG


Emm...sebenarnya tajuk kat atas tu tajuk sebuah filem takder kena mengene pun dengan apa yang hendak saya tulis kat bawah...saje jer suka nak tulis tajuk tu...hehehe

Lama sangat rasanya tak kemas kini lurah rasa, selama saya pulang ke kampung rasa-rasanya hampir seminggu lebih. Alhamdulillah kesihatan mak di kampung semakin pulih, dah boleh pergi ke tandas sendirian, dah nak makan dan hampir tidak kedengaran rengekkan 'aduh' di tengah malam minta disapukan minyak panas di badan yang kian mengecut...sakit di seluruh sendi.

Walau mata terasa kelat menahan mengatuk, namun saya gagahi juga menuang minyak panas di tapak tangan dan disapukan di serata badan...susut badan yang dulunya berisi bagai tinggal tulang dan kulit. Usia tak ler setua mana tapi keuzuran menelan usia kalau nak dikira baru 56th tapi sudah tidak kelihatan isi pada susuk badan.

Berjalan berkaki tiga tapi masih perlukan dua kaki lagi untuk menyokong diri melangkah menuju ke bilik kecil. Selangkah demi selangkah, langkah diatur perlahan terasa terlalu berat penuh sabar mengampu lengan mak, sesekali tangan saya lepaskan melihat sejauh mana kekuatan mak menggagahi diri...kekadang hilang keseimbangan, pantas saya menyambut tubuh yang seakan mahu tumbang.

Mak memang kecil molek orangnya dan berkulit putih kalau sebelum sakit badannya agak berisi tapi sekarang.... sempat juga saya berseluroh " dah macam nyonya tua jer..." kata saya sambil ketawa kecil sambil disambut dengan senyuman dari mak.

Sempat juga saya memandikan mak, rambutnya saya syampo, badannya disabunkan, gigi nak saya gosokkan tapi tak payah katanya walau pun tangan mak masih sakit dan bengkak tapi mungkin dia lebih selesa mengosok giginya sendiri.

Selepas mandi baju saya pakaikan, rambut yang yang dulu hitam kelat kini sudah semakin memutih saya sisirkan, bedak wangi disapu rata ke seluruh muka. Masih cantik lagi mak aku ni...detik hati. Mak kata rambutnya dah panjang dan terasa rimas, esoknya saya tanya mak nak saya potongkan rambut, tak sangka mak nak... apa lagi saya pun potonglah... emm tak sangka ada bakat potong rambut orang. Barulah nampak kemas dan tak rasa rimas lagi.

Itu ketika empat atau lima hari yang lalu, tapi selepas itu keadaannya semakin membaik dan dah tak menggunakan kaki tambahan atau sudah tidak perlu diampu lagi.

Pada hari saya dan anak-anak mahu pulang ke rumah, kelihatan mak berjalan ke bawah sepohon pokok nan rendang di hadapan rumah jiran sebelah, ada bangku besar di bawahnya. Rasanya tempat tu sudah menjadi tempat bersembang diwaktu singgang.

Sebenarnya sakit mak bukan ler tenat sangat hanya sakit darah tinggi, gaout, lemah jantung dan sakit-sakit sendi. Tapi kata orang kalau kita semakin tua sesekali nak juga bermanja dengan anak-anak... saya pun tak kisah kalau mak bersikap demikian saya lagi rasa berbesar hati.

Sempat juga mak berpesan supaya saya berhati hati ketika memandu. Inilah pertama kali saya memandu pulang ke kampung bersendirian bersama anak-anak. Sesungguhnya mak memberi kakuatan untuk saya memandu sejauh berkilo-kilometer.

bonda yang jauh di mata

tetap gah bertahta di hati

takkan ku melupai

walaupun terkadang masa begitu mencemburui

terkadang terbergantungan membatasi

bukan ku tak menyayangi

tanggungjawab menggalasi

ku tahu kau sunyi

bukan ku tak merindui

hanya Allah yang mengtahui

bertapa hati ini menangisi

hanya doa ku kirimi

agar kau di rahmati

moga selamat pergi dan kembali

ingatlah anakmu yang satu ini

walau pun diri ini tak dimanjai

kasih sayangmu tetap ku idami

kasih ku jua ku taburi

wassalam







Khamis, 13 November 2008

SALAM TERAKHIR


Kita sering kali berangan

membayangkan hari-hari tua berdua

bercerita tentang bahagianya cinta

selepas berumah tangga

tentang susah payah

membentuk anak-anak menjadi manusia

tentang impian-impian silam

yang tidak kesampaian

separuh jalan...

atau...

barangkali tersasar jauh dari harapan

waktu itu macam-macam yang aku angankan

macam-macam juga yang kau harapkan

lalu angan dan harapan itu

kita gantungkan di tangga impian

kini tidakkah aku nanar tatkala kau hilang

pohon tempatku berteduh rebah

dahan tempat berpaut patah

dan kau pergi membawa bersamammu

angan harapan dan impian

untuk aku merealisasikannya

seorang....


Buat sahabat pembaca sekalian... apa yang saya nukilkan di atas sedikit pun tiada kena mengena dengan saya atau sesiapa, sama ada yang hidup atau yang telah meninggal dunia. Ianya adalah sekadar nukilan dari sebuah novel Salam Terakhir... mungkin ada sesuatu yang boleh dikongsikan bersama...

p/s : Cuti sekolah akan bermula dan saya akan pulang ke kampung di Kota Tinggi untuk menjaga ibu yang kurang sihat buat beberapa hari. Semoga segalanya berjalan seperti yang dirancang... bagi yang hendak membawa anak-anak bercuti... selamat bercuti.

Rabu, 12 November 2008

SAJAK KEMATIAN

Untuk azlin hashim semoga berpuas hati... inilah seadanya... surirumah yang sentiasa natural...hehehe

Sajak kematian ini ada sebahagian daripada inti pati kandungan visual Alam Barzakh yang sedang hangat diperkatakan oleh sebahagian dari ibubapa yang mana anak mereka dipertontonkan keadaan yang menakutkan ketika selepas kematian.



Sebenarnya di daerah yang saya duduki, perkara ini telah lama berlaku. Anak saya pun telah dipertontonkan tayangan video tersebut, kira-kira setahun yang lalu tetapi perkara ini mulai mendapat perhatian kira-kira seminggu kebelakangan ini.



Pertama kali mengetahui berita ini setelah disiarkan di Buletin Utama tv3, rasa terkejut sebab perkara ini sudah lebih setahun tapi baru sekarang mendapat liputan meluas dan mendapat perhatian dari menteri pendidikan.



Di tempat saya tayangan visual ini dipertontonkan pada pelajar-pelajar yang berusia 12th keatas di sekolah agama dan pelajar-pelajar boleh membeli video cd yang dijual oleh orang tertentu.



Saya ada membeli dan sudah melihatnya, pada pandangan orang dewasa seperti saya ianya tidaklah begitu menakutkan macam katun jer melihat mayat yang dikatakan menerima seksaan kubur tu dan kelakar juga.



Tapi bagi kanak-kanak seusia 7 & 8 tahun mungkin mereka merasa takut dan saya rasa ianya tidak begitu sesuai diperlihatkan untuk menimbulkan kesedaran sebab mereka belum begitu faham dan begitu juga dengan anak saya yang berusia 6th setelah saya menonton kembali visual tersebut dia tak sanggup melihatnya dan takut juga. Dan ianya masih dalam siasatan bagi pihak yang menerbitkannya. Anda boleh melayari : kakisyurga.blogspot.com untuk melihat visual dalam Melayu Mati Tapi Hati-Hati


Di bawah ini ada saya sisipkan untuk anda rakan blogger sekalian sajak kematian...





aku penuh debar dan sungguh cemas


menunggu hari kematian


kerna ia datang tanpa ku ketahui


aku takut diwaktu ketibaan kematian


aku tidak tahu


didalam taatnya atau didalam kedurhakaan


didalam aku mengingatinya atau didalam kelalaian


diwaktu taat husnulhatima


jika diwaktu derhaka suulhatima


aduh.....cemas aku setiap waktu


bila mengingati mati


kerna aku tidak tahu nasibku


husnulhatima atau suulhatima


hatiku resah selalu


jiwaku terganggu


tapi orang tidak tahu


aduh..................


mati adalah penutup segala-galanya


apa yang dikerjakan dan apa yang dirasakan


di sana segala-galanya dinilai


jika tersilap di sana tidak boleh nak dibetulkan lagi


tuhan...tuhan...tuhan...


hatiku sungguh cemas


aku harap matikanlah aku


diwaktu aku mengtaatimu


atau diwaktu mengingatimu


kalau berlaku sebaliknya kerna kelemahanku


kerna aku ni hambamu


tidak dapat elak dari kelemahan ini


dengan rahmatmu tuhan...


dengan rahmatmu tuhan...


ampunkanlah dosa-dosa ku diwaktu ini


bila dosa ku kau ampunkan


aku seperti tidak membuat dosa


maka ringanlah bebanku diwaktu ke sana


itulah harapanku padamu tuhan


diwaktu detik kematian ku


engkau sajalah boleh menyelamatkan ku






wassalam




Sabtu, 8 November 2008

DOA SEORANG IBU


Hati ibu mana yang tidak sedih. Malah ada ketikanya Puan Hajah hilang sabar lalu dicarinya Naufal di pusat video itu. Dia pernah memarahi Naufal di hadapan rakan-rakannya dengan niat mahu memalukannya. Fikirnya apabila anaknya malu maka dia berhenti dari tabiat buruknya itu. Nampaknya tindakan itu tidak berhasil. Malah dia juga pernah memarahi rakan-rakan Naufal yang sama-sama membuang masa di situ. Namun hasilnya tetap sia-sia. Dia juga pernah memarahi tauke pusat video itu tetapi hasilnya tetap menghampakan.

Akhirnya, Puan Hajah mengambil keputusan memasukkan anaknya ke program Motivasi Alihan Pelajar. Setelah dua hari dimotivasikan, Naufal nampak insaf dan mula meninggalkan tabiat buruknya itu. Malangnya, kesan motivasi itu bertahan selama beberapa hari sahaja dan selepas itu Naufal kembali ketabiat lamanya. Apabila Puan Hajah pulang dari sekolah, dia dapati anaknya tiada di rumah. Naluri keibuan itu berat merasakan, anaknya kembali kepada perangai lama. Beliau lalu memandu keretanya dan terus ke pusat permainan video yang menjadi lokasi anaknya serta rakan-rakannya melepak.

Memang benar sangkaannya itu, anak sudah kembali ketagih permainan video. Dia turun dari keretanya dengan perasaan yang mendengus-dengus. Dadanya turun naik menahan kemarahan. Dia mempercepatkan langkah kakinya. Apabila tiba di pintu masuk pusat video itu kakinya terhenti. Dia teringat satu pesanan yang pernah diterima olehnya tidak lama dahulu, " Kalau kita mahu anak-anak kita berubah maka kita mesti berubah sama." " Hendak berubah macam mana?" fikirnya. Tiba-tiba dia mendapat ilham, jika selama ini dia menyerang dan memarahi anaknya, kali ini dia cuba bersabar. Dia sedar tindakannya memarahi anak selama ini terbukti satu tindakan yang sia-sia.

Apabila dia masuk ke pusat siber itu, dia perhatikan anaknya begitu asyik bermain dengan permainan video. Lalu dia menarik satu kerusi dan duduk di sebelah anaknya itu tanpa mengeluarkan sebarang kata-kata. Hampir sepuluh minit dia di situ anaknya langsung tidak menyedarai kehadirannya. Bukan anaknya tidak perasan kehadiran seseorang cuma dia tidak dapat menoleh kerana kalau dia berbuat demikian bimbang nanti game over pulak. Tetapi akhirnya permainan itu tamat juga.

Waktu itu barulah dia menoleh ke sisi dan alangkah terkejutnya apabila mendapati yang sedang memerhatikan gelagatnya sejak tadi adalah ibunya sendiri. Wajahnya ketakutan. Dalam keadaan panik dan kelam kabut itu si ibu lalu bersuara, " Nanti, nanti, nanti... kamu bayar hingga pukul berapa?" " Hingga pukul lima petang emak," balas Naufal dengan nada suara yang terketar-ketar. " Hmm... ada sepuluh minit lagi, rugi ni," kata si ibu lagi." " Eh, tidak mengapa mak, sudah lama," balas Naufal lagi dalam keadaan dirinya yang masih terpinga-pinga. " Kalau begitu jom balik," kata ibunya lagi.

Puan Hajah dan anaknya Naufal beredar dari pusat siber itu. Dalam hatinya, Tuhan saja yang tahu bertapa arahnya dia. Mahu saja dia melepaskan kemarahannya seperti yang pernah dilakukannya sebelum ini. Tapi dia tahu, kalau itu yang dilakukannya hasilnya tetap sama. Naufal tidak akan insaf. Masuk sahaja dalam kereta, Naufal pula terfikir habislah dia kali ini. Pasti ibunya memarahinya dengan teruk. Tapi apa yang dia sangkakan tidak berlaku.

Dia sudah bersedia dimarahi malah dia sudah bersedia dengan alasan-alasannya. Namun ibunya tetap diam sepanjang perjalanan itu. Sampai sahaja di rumah, Puan Hajah meninggalkan anaknya di ruang tamu. Tanpa sepatah pun perkataan keluar dari mulutnya dia terus berjalan menunju ke biliknya. Dia berwuduk bagi meredakan kemarahannya. Dia tunggu waktu solat Maghrib yang sudah semakin hampir dan terus bersolat bagi memperolehi ketenangan.

Selesai sahaja menunaikan solat Maghrib, si ibu terus berfikir apa lagi yang dapat dilakukan bagi anaknya ini. Masuk program motivasi, jumpa kaunselor, minta ustaz buatkan solat hajat, beri minum air Yasin dan hampir semua usaha dilakukannya. Namun Tuhan belum izinkan anaknya berubah. Akhirnya beliau terfikir untuk buatkan sendiri solat hajat untuk anaknya ini. Sebelum ini pun dia pernah buatkan solat hajat untuk anaknya tetapi kali ini agak berbeza. Hatinya benar-benar ingin mengadu pada Tuhan.

Puan Hajah berdiri di atas sejadah lalu mengangkat tangan bagi mendirikan solat hajat itu. Waktu itu segala kemarahan dan kekecewaannya bertukar menjadi kesedihan. Dia tidak mampu lagi menahan sebak di hati. Semasa mengangkat takbir, air matanya mengalir deras. Dia menangis semasa berdirinya, rukuk dan sujudnya. Selesai sahaja menunaikan solat hajat dia terus berdoa. Tangisan hiba semakin kuat lebih-lebih lagi semasa dia menyebut nama anaknya, " Ya Tuhan, berikanlah petunjuk kepada anakku Naufal, ya Tuhan. Sudah habis rasanya ikhtiarku. Aku hanya mampu berdoa dan memohon padamu sahaja ya Tuhan." Tangisan hiba dan rintahan itu kedengaran hingga ke luar bilik.

Naufal yang berada di luar bilik mengetuk pintu bilik berkali-kali tapi tiada sebarang jawapan. Puan Hajah langsung tidak mendengar ketukan itu. Tumpuannya terhadap Tuhan begitu khusyuk hingga menutup pendengarannya. Lalu Naufal memberanikan diri menolak daun pintu itu. Semasa dia melangkah masuk ke dalam bilik, dia lihat ibunya sedang sujud, menangis, sambil berdoa dan menyebut namanya. Hati anak mana dapat menahan hiba melihat keadaan ibu sebegitu.

Lebih-lebih lagi Naufal baru beberapa hari pulang dari program motivasi. Hatinya sebenarnya sudah disentuh cuma kekuatannya masih belum mencukupi untuk berubah. Melihat keadaan ibunya itu, Najfal terus menerpa, melutut lalau memeluknya. Spontan dia berkata, " Mak, Naufal minta maaf mak, Naufal bersalah mak, Naufal berdosa mak, ampun mak Naufal tidak buat lagi, Naufal janji mak." Kedua-duanya berpelukan dalam tangisan dan ketika itulah Tuhan makbulkan doa ibu tadi. Naufal benar-benar berubah selepas itu sehingga berjaya berlajar ke peringkat universiti.

Itulah kekuatan doa. Malah kepasrahan ibu tadi berdoa bergitu berkesan pada emosi anak itu. Kesan emosi itu cukup mendalam hingga memberikan satu kekuatan, motivasi dan azimat dalam diri si anak untuk terus berubah. Memang betul ada antara kita tidak pernah lupa mendoakan anak-anak. Baguslah kalau begitu. Tapi berapa kerap kita betul-betul berdoa, benar-benar pasrah seperti kisah ibu di atas tadi? Mungkin sekali, mungkin dua kali. Mungkin juga tidak pernah walau sekali.

Renung-renungkan...

Isnin, 3 November 2008

Kisah Anak Kecil Baru Belajar Bertatih

Ada seorang anak kecil baru belajar bertatih. Semasa ibu sedang memasak di dapur tiba-tiba kakaknya menjerit, "Mak, mak, tengok adik, tengok adik!"

Si ibu terus memadamkan api di dapur dan bergegas ke ruang tamu, "Kenapa? Kenapa?" Si ibu melihat resah.

"Bukan mak, tengok adik sudah pandai bertatih," jawab kakak.

Mereka lalu bersorak melihat telatah si kecil itu. "Adik pandai, adik pandai, adik pandai," kata kakak dan ibu sambil bertepuk-tepuk tangan.

Adik tergelak-gelak kecil sambil cuba menapak. Setapak, dua tapak, tiga tapak, lalu jatuh.

Si kakak lalu pegang tangan adik, cuba membantunya bertatih semula sambil terus bersorak teruja, "Adik pandai, adik pandai, adik pandai."

Begitulah keadaannya yang berlaku hingga akhirnya anak kecil itu mamapu mengimbangi badannya lalu berjalan.

Cuba perhatikan peristiwa itu, adakah kita memarahi anak kecil itu semasa dia terjatuh? Tidak.

Adakah anak kecil itu faham makna perkataan ' adik pandai ' yang ditujukan kepadanya itu? Juga tidak.

Tapi kenapa anak itu teruja dan mempunyai motivasi bagi meneruskan usahanya bertatih? Sebab dia faham reaksi emosi kita. Reaksi kita memberikan dia isyarat, kita percayakan kebolehannya. Keseronokan kita membuatnya teruja bagi terus mencuba.

Inilah dikatakan pendekatan emosi dan emosi yang digunakan pula mestilah positif. Malangnya apabila anak-anak makin besar, kita lupakan pendekatan emosi ini.

Sebaliknya kita gunakan pendekatan rasional semata-mata. Kita marah anak kita apabila markahnya merah, kita tegur anak setiap kali mereka tersilap, kita sindir dan memperkecilkan kemampuan mereka

Akhirnya jiwa mereka semakin jauh daripada kita meskipun secara fizikalnya anak itu berada di depan mata kita. Emosi yang kita gunakan adalah emosi negetif, bukannya positif.

Apa yang saya coretkan di atas adalah sebahagian daripada isi kandungan dari buku Teknik Memotivasikan Anak Cara positif yang baru saya miliki. Banyak yang menarik di dalamnya , bukan saja dapat ilmu untuk membantu anak dalam meningkatkan kecemerlangan diri, tapi dapat berlajar cara yang lebih berkesan dalam mendidik dan memotivasikan anak-anak.

Sebenarnya sebagai ibu bapa banyak lagi kekurangan dalam mendidik anak-anak dengan cara yang lebih baik dan yang paling penting ianya berkesan.

Bukan sesuatu yang mudah untuk ibu bapa mempunyai anak yang pandai mengurus diri, belajar dengan cemerlang dan menyiapkan kerja sekolah tanpa disuruh, menunaikan ibadat wajib dan ditambah dengan ibadat sunat.

Betapa bahagianya hati ibu dan ayah memiliki anak-anak yang ringan tulang melakukan kerja-kerja di rumah, pandai menjaga diri, tahu memilih kawan, mendapat pencapaian cemerlang di sekolah hingga sendiasa menerima anugerah serta pujian dan sebagainya.

Bersedialah menjadi ibu bapa yang mampu menjadi pendidik, pembimbing, kaunselor, motivator pemimpin dan hero kepada anak-anak. Ibu bapa cemerlang ,melahirkan anak-anak yang menepa kejayaan yang gemilang.